ViralNova, salah sebuah laman media yang dikendalikan DeLong telah diperolehi oleh syarikat media digital Zealot Networks dalam perjanjian tunai dan saham yang bernilai sebanyak 100 juta dollar. Pada permulaannya, ViralNova hanya dikendalikan secara persendirian oleh DeLong bersama dua orang penulis bebas. Hasil usahasama mereka, laman ViralNova berkembang kepada skala yang lebih besar dan mencapai jumlah pembaca seramai 100 juta sebulan.
Dengan hanya bersumberkan pengiklanan Google, laman yang dilancarkan pada pertengahan tahun 2013 itu berjaya menjana pendapatan sehingga enam angka sebulan ketika baru beroperasi selama lapan bulan. Semua ini dilakukan tanpa perlu menggaji pekerja dan tanpa sumber kewangan dari luar. ViralNova banyak memanfaatkan cerita berkaitan social yang diiringi dengan tajuk menarik yang mampu menarik minat pembaca terutamanya di Facebook.
Sebelum kejayaan viralNova, DeLong pernah membina beberapa laman sesawang dan menjualnya. Kejayaan pertama beliau adalah apabila laman web khas untuk peminat Halo 2 berjaya menghasilkan 500 dollar sebulan melalui iklan Google. Laman itu dilancarkan sewaktu beliau berumur awal 20-an, tidak lama selepas tamat pengajian di Universiti Kent State.
Kejayaan itu telah membuka mata DeLong bahawasanya Internet adalah dunia yang sangat luas dan tiada batasan. “Saya berfikir sekiranya saya mampu menjana 500 Dollar sebulan, tidak mustahil ia akan mencapai 5000 Dollar”. Kata DeLong.
Kejayaan beliau yang seterusnya tidak kurang hebatnya. Beliau melancarkan GodVine, laman yang berkait rapat dengan pengguna Facebook dalam kalangan wanita. Laman tersebut tersenarai di antara 1500 laman yang terkenal dalam Alexa, sebuah laman capaian pengguna. DeLong telah menjual laman GodVine kepada syarikat Salem Communications dengan jumlah yang telah mengubah segalanya.
ViralNova pula dihasilkan dengan tujuan yang lebih meluas berbanding GodVine dimana ia akan menerbitkan kandungan yang tular tanpa terikat dengan pertalian agama. DeLong melancarkannya ketika beliau sedang kebosanan ketika sedang bekerja di Barcelona. Ketika beliau pulang ke Ohio, beliau terkejut dengan kepantasan ViralNova mencapai populariti.
Walau bagaimanapun, kejayaan tidak datang bergolek. Selepas lapan bulan dilancarkan, DeLong mula merasai tekanan mengendalikan ViralNova sendirian malah laman tersebut hanya menggunakan platform Worpress yang tidak dapat menampung capaian pengguna yang tinggi.
Selain itu, walaupun ViralNova membuahkan jutaan Dollar, DeLong terpaksa bekerja selama 16jam setiap hari termasuk hujung minggu. Akhirnya beliau terpaksa melantik broker domain untuk mencari peluang pengambil alihan laman tersebut.
Malah, beberapa tahun kebelakangan ini Facebook telah menutup laman viral dan mengubah algorithm untuk mengurangkan suapan berita. Hal ini telah membunuh beberapa pesaing ViralNova. Namun ViralNova sendiri tidak terlepas dari terkena tempiasnya. Pada tahun 2014, DeLong mengeluarkan kenyataan di laman Twitter bahawa menjalankan perniagaan di Facebook ibarat membuka sebuah restoran McDonald di kawasan gunung berapi.
ViralNova hanyalah salah satu dari pelbagai pemula media digital yang berkembang melalui Facebook. EliteDaily, Mic, Upworthy dan Distractify merupakan antara pemula media digital yang telah dilancarkan serentak dan memperolehi jutaan pembaca bulanan melalui penyebaran meluas artikel di Facebook. Baru-baru ini Elite daily telah dibeli oleh DailyMail sebanyak 50 juta dollar, manakala laman upworthy dan Distractify telahpun lenyap dari alam maya. Namun ViralNova masih lagi berjaya mengekalkan kedudukannya.
Ramai yang berminat untuk melabur di dalam ViralNova termasuk kapitalis Lembah Silikon yang telah menawarkan jutaan Dollar untuk menjadikan ViralNova sebagai perniagaan namun ditolak oleh DeLong kerana tidak mahu tekanan seperti bekerja di dalam pejabat.
Keadaan berubah apabila seorang usahawan dari New York, Sean Beckner yang berjaya meyakinkan DeLong untuk menyahut cabaran tersebut. Beckner mengetahui mengenai hasrat DeLong untuk menjual ViralNova. Beliau kemudian telah menghantar emel kepada DeLong dan menawarkan untuk membeli pegangan di dalam syarikat. Perjanjian itu membolehkan DeLong mendapat bayaran dan membuat tuntutan disamping meneruskan perniagaan. Selepas berbulan-bulan perbincangan, akhirnya kedua-dua mereka mencapai kesepakatan.
Beckner dilantik sebagai ketua Pegawai eksekutif (CEO) ViralNova dan turut disertai oleh kumpulan eksekutif terdiri daripada Ketua pegawai kewangan (CFO), Jeff Geurts, timbalan pengerusi Ryan Elledge dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO), Shaun Tilford.
Tilford telah membantu DeLong membina Sistem Pengurusan Kandungan (CMS) yang dinamakan sebagai Nova. Sistem tersebut memudahkan interaksi social serta berupaya menguji dua tajuk pada satu masa untuk menguji keberkesanan. DeLong telah melantik salah seorang penulis bebas, Sara Heddleston sebagai penyunting dan turut menggaji beberapa orang penulis. Satu kumpulan pemasaran kewangan turut dilantik untuk mengawal selia ViralNova.
Sehingga hari ini, ViralNova mempunyai seramai 22 orang pekerja sepenuh masa yang berusaha untuk menjana sehingga 35 juta dollar tahun ini. Syarikat itu bakal berpindah ke ibu pejabat Zealot Media yang bertempat di Venice, California. Kini DeLong tidak perlu lagi bekerja 16 jam sehari setelah diuruskan oleh Zealot Networks.